Skip to main content

Dunia

'Ciuman kosmik': Zuhrah dan Musytari bertemu di langit senja

Sumber: REUTERS
Walaupun Zuhrah dan Musytari kelihatan seolah-olah hampir bersentuhan, keadaan itu hanyalah kesan perspektif. Hakikatnya, kedua-dua planet itu masih dipisahkan oleh jarak ratusan juta kilometer. - REUTERS

ASTANA: Planet Zuhrah dan Musytari akan kelihatan berada sangat hampir antara satu sama lain di langit senja sekitar Selasa (9 Jun) dalam satu fenomena cakerawala yang sering digelar sebagai “ciuman kosmik”, lapor Agensi Berita Qazinform.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa  Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), kedua-dua planet itu akan dapat dilihat rendah di atas ufuk barat sejurus selepas matahari terbenam apabila mencapai kedudukan konjungsi.

Walaupun Zuhrah dan Musytari kelihatan seolah-olah hampir bersentuhan, keadaan itu hanyalah kesan perspektif.

Hakikatnya, kedua-dua planet itu masih dipisahkan oleh jarak ratusan juta kilometer.

Ahli astronomi merujuk fenomena berkenaan sebagai konjungsi planet, iaitu keadaan apabila objek cakerawala kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit apabila dilihat dari Bumi.

Fenomena itu boleh disaksikan tanpa menggunakan teleskop atau teropong.

Dari 11 hingga 15 Jun, planet Utarid akan menyertai Zuhrah dan Musytari di atas ufuk barat, sekali gus membentuk apa yang disifatkan NASA sebagai perarakan mini planet.

Penjajaran itu berlaku kerana planet-planet beredar mengelilingi Matahari hampir pada laluan ketara yang sama di langit, yang dikenali sebagai ekliptik.

Akibatnya, planet-planet itu kadangkala kelihatan berkumpul rapat apabila dilihat dari Bumi.

Pada 17 Jun, pemerhati di beberapa kawasan di Amerika Utara dan Amerika Selatan berpeluang menyaksikan fenomena penghijaban Zuhrah oleh Bulan, apabila Bulan melintas di hadapan planet itu buat sementara waktu sehingga menyebabkan ia hilang daripada pandangan sebelum muncul semula.

Bulan itu turut menyaksikan solstis Jun pada 21 Jun, yang menandakan permulaan musim panas astronomi di Hemisfera Utara serta hari paling panjang dalam setahun.

NASA juga mengesyorkan orang ramai mencari Segi Tiga Musim Panas, corak bintang yang menonjol dan dibentuk oleh tiga bintang terang iaitu Vega, Altair dan Deneb.

Kawasan itu mengandungi beberapa objek angkasa lepas yang terkenal, termasuk Nebula Dumbel, Nebula Cincin dan Nebula Amerika Utara, yang boleh dilihat pada waktu malam sepanjang musim panas.

-- BERNAMA-QAZINFORM

 

 

Must Watch Video

Advertisement