[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Colombia cadang hentikan perjanjian FTA dengan Israel

Astro Awani 30/09/2025 | 04:20 MYT
Presiden Gustavo Petro berucap kepada penunjuk perasaan pro-Palestin di Plaza Dag Hammarskjold, luar ibu pejabat PBB semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-80 di New York, Amerika Syarikat, pada 26 Sept 2025. - Gambar Reuters
BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro bercadang untuk menghentikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Israel yang telah bermula pada 2020.

Menurut beliau, ia merupakan tindakan susulan selepas rejim zionis Israel berterusan melakukan jenayah perang ke atas warga Palestin di Gaza.

Dalam masa sama, Petro turut mengarahkan syarikat arang batu yang mengeksport ke Israel agar mematuhi dasar baharu itu atau menjual konsesi mereka, yang akan diambil alih oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

“Kita akan mengubah Perjanjian Perdagangan Bebas dan ia bermakna tiada lagi FTA dengan Israel.

“Syarikat arang batu yang mengeksport mesti patuh atau menjual konsesi mereka dan kementerian kewangan akan membelinya,” tegasnya.

Merujuk konflik berpanjangan di Gaza, wilayah Palestin, Petro mendakwa, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump “bersekongkol dalam pembunuhan beramai-ramai” dan sepatutnya dipenjarakan di bawah Statut Rom.

“Tiada guna pelaksanaan Statut Rom sama ada di AS atau di mana-mana sahaja jika Trump terus bersekongkol dalam pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku pada hari ini.

“Beliau (Trump) hanya layak berada di penjara dan pihak tentera AS tidak sepatutnya mematuhi arahannya,” ujar Petro lagi.

Beliau turut berhujah mana-mana individu yang dibicarakan oleh tribunal antarabangsa di bawah Statut Rom boleh ditahan oleh mana-mana negara yang mereka masuki.

Sehubungan itu, Petro mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak ditangkap di Amerika Syarikat.

“Statut Rom mentakrifkan jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang adalah jenayah antarabangsa. Sesiapa sahaja dari mana-mana kewarganegaraan yang diadili oleh tribunal tersebut boleh ditangkap oleh mana-mana negara jika mereka melintasinya.

“Maka Netanyahu boleh ditangkap di Amerika Syarikat. Dan jika mereka boleh menangkapnya, mengapa mereka tidak lakukan? Mengapa mereka mengingkari perjanjian undang-undang antarabangsa?” soal Petro lagi.

AS dan Israel telah menarik balik ratifikasi mereka terhadap Statut Rom pada 2002, namun, Colombia dan beberapa negara lain meratifikasi perjanjian tersebut dan kekal sebagai ahli kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dengan waran tangkap ICC pada 21 November 2024, Netanyahu berisiko ditahan jika memasuki lebih 120 negara yang merupakan ahli kepada Statut Rom kerana mereka berkewajiban menyerahkannya kepada ICC, namun pelaksanaannya bergantung pada kehendak politik negara tuan rumah.





#Amerika Syarikat #Israel #Gaza #Colombia #henti perjanjian FTA