Skip to main content

Dunia

Colombia isytihar bencana nasional susulan risiko El Nino

71678284137_Kemarau.jpg
Colombia dijangka berdepan kemarau luar biasa yang menjejaskan sebahagian besar wilayah negara antara Disember 2026 hingga Mac 2027. - Gambar hiasan
Advertisement

BOGOTA: Presiden Colombia Gustavo Petro pada Jumaat berkata kerajaannya mengisytiharkan bencana nasional selama 12 bulan sebagai tindak balas terhadap risiko fenomena cuaca El Nino.

“Kita akan berdepan kemarau luar biasa yang menjejaskan sebahagian besar wilayah negara antara Disember 2026 hingga Mac 2027. Besar kemungkinan kemarau pada skala sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah Colombia,” tulis Petro di platform X.

Dekri itu merangkumi penubuhan dana bagi menangani kecemasan, pelan tindakan untuk menggalakkan penjimatan air serta langkah memperkukuh jaminan bekalan makanan di wilayah paling terdedah.

Petro berkata, langkah berkenaan dirangka untuk jangka sederhana dan menggesa kerajaan yang bakal mengambil alih supaya menyelaraskannya secara bertanggungjawab dengan tindakan jangka pendek.

Beliau turut menggesa supaya audit dilaksanakan terhadap semua projek yang telah diperuntukkan serta berkata sumber kecemasan perlu disalurkan kepada kredit bersubsidi bagi sektor pertanian dan penggunaan segera tanah yang belum diagihkan daripada dana tanah negara.

Dalam sektor tenaga, Petro menggesa supaya semua sumber yang diperuntukkan kepada program Colombia Solar digunakan dan berkata senarai pembekal panel solar akan dibuka kepada syarikat yang mempunyai stok sedia ada atau mampu membawa masuk panel ke negara itu dalam tempoh enam bulan.

Menurut Institut Hidrologi, Meteorologi dan Kajian Alam Sekitar Colombia, El Nino sudah mula menjejaskan sebahagian besar negara itu dan dijangka bertambah buruk pada separuh kedua 2026.

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko termasuk penyusutan mendadak sumber air, kemusnahan tanaman dan ternakan secara besar-besaran, kesan terhadap penjanaan tenaga, kebakaran hutan serta masalah kesihatan awam.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement