DUBAI: Sidang kemuncak iklim PBB pada Isnin melancarkan perkongsian yang disokong oleh 68 negara, termasuk China untuk mengurangkan impak perubahan iklim terhadap punca pendapatan kaum hawa dan memudahkan peranan mereka dalam peralihan rendah karbon.

Perkongsian itu dilancarkan pada dialog peringkat tinggi semasa sesi ke-28 Persidangan Pihak-Pihak (COP28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Agensi Berita Xinhua, ia selaras dengan strategi responsif jantina PBB untuk mengurangkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan bagi wanita semasa peralihan negara kepada ekonomi hijau.

Perkongsian itu turut mencakupi pakej komitmen, termasuk tindakan ke atas data khusus jantina, kewangan dan peluang saksama, yang akan dilaksanakan oleh penandatangan dalam tempoh tiga tahun akan datang sebelum dinilai semula pada COP31.

"Perubahan iklim tidak bersifat neutral jantina - ia memberi kesan yang tidak seimbang kepada wanita dan gadis," kata Juara Peringkat Tinggi Perubahan Iklim PBB untuk COP28 Razan Al Mubarak pada dialog itu.

Peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan mampan akan membawa kepada penghapusan dan transformasi beberapa pekerjaan serta penciptaan peranan baharu, menurut kenyataan presidensi COP28.

Kenyataan itu yang memetik data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan sebanyak 1.2 bilion pekerjaan atau 40 peratus daripada tenaga buruh global berisiko hilang akibat pemanasan global dan kemerosotan alam sekitar.

Selain itu katanya wanita membentuk majoriti mereka yang bekerja dalam sektor yang sangat terdedah kepada perubahan iklim.

Seramai 158 juta wanita dan gadis diramalkan akan mengalami kemiskinan di seluruh dunia akibat perubahan iklim menjelang pertengahan abad ini, 16 juta lebih banyak daripada jumlah keseluruhan lelaki.

Memandangkan "krisis iklim memburukkan lagi ketidaksaksamaan jantina sedia ada dan menimbulkan ancaman serius kepada mata pencarian, kesihatan dan kesejahteraan wanita", Mubarak menyeru kerangka kewangan global diperbaharui untuk melabur dalam pemerkasaan ekonomi wanita.

--BERNAMA-XINHUA