GENEVA: COVAX, inisiatif vaksin COVID-19 antarabangsa yang digerakkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sudah mengagihkan sejumlah 1 bilion vaksin kepada 144 negara.

WHO dalam satu kenyataan pada Ahad menjelaskan 36 negara anggota menyaksikan kadar vaksinasi kurang 10 peratus.

Manakala 88 negara anggota kurang daripada 40 peratus setakat Khamis.

Untuk rekod, COVAX merupakan inisiatif operasi perolehan dan pembekalan vaksin terbesar dalam sejarah.

COVAX dilancarkan pada April 2020 oleh WHO dan diketuai bersama oleh Global Alliance for Vaccines and Immunization (GAVI) dan Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI) yang merupakan salah satu daripada tiga akses utama kepada pembekalan alatan COVID-19.

Ia menggabungkan kerajaan, organisasi kesihatan global, pengilang, saintis, sektor swasta, masyarakat sivil dan dermawan bertujuan menyediakan akses inovatif dan saksama kepada diagnostik, rawatan dan vaksin COVID-19.