BEIJING: Beijing menutup taman, pusat beli-belah dan muzium pada Selasa manakala lebih banyak bandar di China melaksanakan semula ujian besar-besaran COVID-19, ketika negara itu berusaha memerangi lonjakan kes.

Ia sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai ekonomi dan meleburkan harapan untuk melihat pembukaan semula pasca COVID-19.

China melaporkan 28,127 kes tempatan baharu pada Isnin, menghampiri kemuncak hariannya seperti yang direkodkan pada April lalu, dengan jangkitan di bandar Guangzhou dan Chongqing menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah keseluruhan.

Dua kematian baharu direkodkan, selepas tiga kematian dicatatkan pada hujung minggu lalu, yang merupakan kematian pertama di China sejak Mei.

Gelombang terbaharu itu menguji dasar sifar COVID China, dengan pihak berkuasa fokus pada usaha mengawal, berbanding sekatan dan ujian besar-besaran yang mengecewakan penduduk.

Bandar Tianjin, dekat Beijing, menjadi yang terbaharu mengarahkan pengujian secara besar-besaran, selepas pengumuman serupa oleh Shijiazhuang, Ahad lalu.

Walaupun selepas garis panduan yang dipinda, China terus dengan kawalan COVID yang ketat, termasuk sempadan yang ditutup selama hampir tiga tahun selepas wabak itu.

Ibu negara China itu pada Isnin mengumumkan peraturan yang diperketatkan, yang memerlukan pengunjung menjalani ujian COVID-19 selama tiga hari sebelum dibenarkan meninggalkan penginapan mereka.

Penduduk Beijing menyaksikan bangunan penempatan mereka dikawal ketat, walaupun sekatan itu selalunya hanya berlarutan selama beberapa hari.

Sesetengah penduduk mengakui mengalami masalah untuk mendapatkan barangan runcit, dengan servis penghantaran tidak dapat tiba pada masa yang ditetapkan kerana jumlah yang banyak.