COVID-19: Catat angka tertinggi, Itali perketat perintah berkurung

Agensi
Mac 22, 2020 02:10 MYT
Itali pada Sabtu mengesahkan pertambahan jumlah kes kematian akibat COVID-19 dalam masa 24 jam sebanyak 793 kes menjadikan jumlah keseluruhan angka kematian 4,825.
Itali mengumumkan langkah baharu bagi memperketatkan lagi perintah berkurung dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Perdana Menteri Giuseppe Conte pada Sabtu berkata, kesemua kilang yang tidak menghasilkan barangan keperluan akan ditutup.
"Hari ini, kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah selanjutnya, iaitu dengan menutup seluruh wilayah di negara ini.
"Pada masa sama, kesemua pasar raya akan tetap dibuka, kedai yang menjual makanan dan barangan penting akan tetap dibuka.
"Jadi, tolong berhati-hati. Saya mohon orang ramai untuk kekal tenang dan tiada sebab untuk melakukan pembelian panik.
"Farmasi, bank, pejabat pos, insurans, perkhidmatan kewangan akan tetap dibuka dan kerajaan akan memastikan perkhidmatan penting tetap dibuka, sebagai contoh, pengangkutan awam," jelasnya.
Langkah baharu itu, yang turut diumum melalui laman Facebook beliau, dilihat lebih drastik berbanding perintah berkurung yang dilaksanakan bermula dua minggu lalu.
Itali pada Sabtu mengesahkan pertambahan jumlah kes kematian akibat COVID-19 dalam masa 24 jam sebanyak 793 kes menjadikan jumlah keseluruhan angka kematian 4,825.
Manakala kes positif jangkitan COVID-19 di negara itu pula mencecah 53, 578 kes.
Itali merupakan antara negara awal di Eropah yang menguatkuasakan perintah berkurung dan kuarantin namun polis melaporkan lebih daripada 70,000 pelanggaran arahan itu oleh rakyatnya sejak dikuatkuasakan pada 11 Mac.
Oleh yang demikian, kerajaan Itali telah mengarahkan tenteranya turut sama menguatkuasakan perintah berkurung untuk mengenakang penularan COVID-19.
#eropah #Giuseppe Conte #Itali #kilang #kuarantin #pasar raya #pejabat pos #pelanggaran arahan #pengangkutan awam #Perdana Menteri Itali #perintah berkurung