COVID-19: China akan analisis sampel daripada pelawat luar negara untuk kenal pasti varian

Bernama
Januari 9, 2023 05:43 MYT
China tidak mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit COVID-19 mulai Ahad.- Fail/REUTERS
BEIJING: China yang membuka sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan akibat COVID-19 akan menganalisis sampel daripada penumpang luar negara yang positif koronavirus untuk menentukan varian.
Sampel ujian penumpang dan kakitangan di lapangan terbang dan pelabuhan laut akan dikumpul dari hospital dan klinik untuk analisis DNA bagi memantau mutasi virus, menurut protokol kawalan baharu mekanisme pencegahan dan kawalan bersama Majlis Negara China.
Protokol kawalan baharu itu menetapkan sampel pesakit luar, pesakit yang mengalami simptom teruk dan mereka yang meninggal dunia akibat koronavirus, perlu dipindahkan segera ke Institut Virologi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China bagi mengesan kemungkinan varian baharu, lapor Agensi Anadolu.
Pada 26 Dis, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan ia menurunkan taraf Koronavirus daripada penyakit berjangkit Kelas A kepada Kelas B bagi melonggarkan langkah kawalan di negara itu.
COVID-19 diubah daripada "pneumonia coronavirus novel" kepada "jangkitan coronavirus novel," menurut kenyataan suruhanjaya kesihatan.
Selain itu, China tidak mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit COVID-19 mulai Ahad mengikut Undang-undang Kesihatan Sempadan dan Kuarantin Republik Rakyat China, lapornya.
Negara paling ramai penduduk di dunia itu juga melonggarkan dasar ketat "sifar COVID" bulan lepas, berikutan pergolakan dan protes yang tidak pernah berlaku sebelum ini di beberapa bahagian negara itu.
Negara itu, bagaimanapun, berhadapan peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lepas.
Beberapa negara, termasuk AS, UK, Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Finland dan Belanda, mengumumkan syarat keputusan negatif ujian COVID-19 bagi mereka yang tiba dari China.
Pada Jumaat, China berkata situasi COVID-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota EU mengalu-alukan pelancong China.
-- BERNAMA
#COVID-19 #China #varian baharu #buka sempadan