COVID-19: Facebook padam, Twitter sembunyi hantaran dibuat Trump

Astro Awani
Oktober 7, 2020 02:17 MYT
Kita kena belajar menghadapi ancaman musim selesema, sama seperti kita berdepan dengan COVID-19, kata Trump menerusi media sosial miliknya. - Gambar fail
LAMAN sosial Facebook bertindak memadam hantaran dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mendakwa wabak COVID-19 kurang berbahaya berbanding selesema.
BBC melaporkan, selain Facebook, ciapan Trump di Twitter juga 'disembunyikan' di sebalik satu amaran kerana dianggap "menyebarkan maklumat mengelirukan dan berpotensi merbahaya" berkaitan COVID-19.
"Musim selesema akan tiba! Ramai orang setiap tahun, kadang-kadang lebih 100,000, walaupun ada vaksin, mati akibat selesema.
"Apakah kita akan menutup negara kita? Tidak, kita kena belajar menghadapinya, sama seperti kita berdepan dengan COVID-19, di mana di kebanyakan populasi, ia jauh kurang berbahaya menyebabkan kematian," katanya dalam ciapan pada Selasa.
Bagi membaca ciapan itu, pelayar Twitter perlu menekan butang amaran.
Pengurus komunikasi dasar Facebook, Andy Stone, dipetik berkata: "Kami alihkan informasi tidak tepat mengenai bahaya COVID-19, dan kini telah alihkan hantaran ini."

Flu season is coming up! Many people every year, sometimes over 100,000, and despite the Vaccine, die from the Flu. Are we going to close down our Country? No, we have learned to live with it, just like we are learning to live with Covid, in most populations far less lethal!!!

— Donald J. Trump (@realDonaldTrump) October 6, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Susulan itu, Trump bertindak menulis hantaran: "Mansuhkan seksyen 230!!!", merujuk kepada peruntukan undang-undang yang menyatakan media sosial tidak bertanggungjawab ke atas posting dibuat pengguna.
Terdahulu, Twitter dilaporkan memadam semua ciapan yang mendoakan kematian Trump dalam usaha menyekat salah guna media sosial sebagai medan mengkritik pemimpin negara itu.
Tindakan syarikat berpangkalan di San Francisco itu dibuat berikutan banyak mesej dan ciapan mendoakan kematian Presiden AS selepas beliau dilaporkan menerima rawatan di hospital akibat positif COVID-19 minggu lalu.

REPEAL SECTION 230!!!

— Donald J. Trump (@realDonaldTrump) October 6, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Twitter, dalam satu kenyataan, mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bahawa perbuatan mendoakan kematian sesiapa saja adalah tingkah laku tidak sopan.
Pada Isnin, Trump meninggalkan Hospital Tentera Walter Reed, Maryland selepas tiga hari menerima rawatan dan mengumumkan akan 'kembali menyertai jelajah kempen pemilihan Presiden tidak lama lagi'.
Kepulangan Trump menyusul ketika mana bilangan kakitangan White House yang dijangkiti COVID-19 masih belum dimuktamadkan.
#Donald Trump #COVID-19 #White House #Twitter #Facebook #ciapan #Hospital Tentera Walter Reed Maryland #selesema #sembunyi #posting #amaran #bahaya #padam