PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump yang disahkan positif COVID-19 pada Jumaat dibenarkan keluar hospital Hospital Tentera Walter Reed, Maryland, tiga hari selepas menerima rawatan di institusi perubatan itu.

Selepas dibenarkan keluar, presiden itu segera ke White House untuk meneruskan rawatan pemulihan.

Trump meninggalkan pekarangan hospital pada kira-kira pukul 7 petang Isnin waktu tempatan.

Beliau menggunakan khidmat helikopter presiden Marine One untuk ke White House.

Sebelum itu, beliau memuat naik status di laman Twitter miliknya memaklumkan akan didiscaj dari hospital.


BACA: Trump keluar hospital hanya untuk melambai penyokong, undang reaksi negatif 

Dalam ciapannya, Trump berkata beliau berasa sangat sihat dan sempat berpesan supaya tidak takut dengan jangkitan COVID-19.

Selepas keluar hospital dan tiba di White House, Trump segera menanggalkan pelitup muka yang dipakainya.

Kepulangan Trump menyusul ketika mana bilangan kakitangan White House yang dijangkiti COVID-19 masih belum dimuktamadkan.

BACA: White House enggan sahkan bilangan kakitangan jalani saringan COVID-19

BACA: COVID-19: Trump dalam keadaan baik, tiada gejala - Pakar Perubatan White House

Soal kesihatan Trump membayangi kempen pilihan raya presiden yang berbaki kurang sebulan.

Beliau sebelum ini pernah memuat naik status di Twitter untuk kembali meneruskan jelajah kempen sebelum pilihan raya berlangsung 3 November nanti.