COVID-19: Hun Sen alu-alukan penumpang MS Westerdam ke Kemboja

Astro Awani
Februari 15, 2020 06:16 MYT
Hun Sen menyambut penumpang dan anak kapal MS Westerdam yang berlabuh di Sihanoukville, Kemboja, 14 Feb, 2020. REUTERS
PERDANA Menteri Kemboja Hun Sen pada Jumaat mengalu-alukan ratusan penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang meninggalkan negara itu untuk pulang ke negara asal masing-masing.
Pada masa sama, terdapat juga penumpang yang mahu melawat Kemboja dan diberi kebenaran untuk berbuat demikian.
Hun Sen tiba di Pelabuhan Autonomi Preah Sihanouk pada kira-kira jam 6 pagi Jumaat dan terus menyambut semua penumpang dan anak kapal tersebut yang berlabuh di Sihanoukville.
Katanya, semua mereka dibenarkan meninggalkan kapal itu selepas ujian perubatan menunjukkan tiada seorang pun daripada mereka yang dijangkiti koronavirus baharu yang berasal dari Wuhan, China, yang dikenali sebagai COVID-19.
Terdahulu, kapal tersebut telah berlabuh di Pelabuhan Autonomi Sihanoukville pada pagi Khamis.
Pada mulanya, tidak ada penumpang dan anak kapal yang dibenarkan turun selepas 20 penumpang dilaporkan telah jatuh sakit, termasuk ada yang sakit perut dan mengalami gejala lain seperti selesema.
"Hari ini saya benarkan semua orang di atas kapal persiaran ini untuk turun dan melawat wilayah Preah Sihnouk dan wilayah Siem Reap jika mereka mahu," kata Hun Sen.
BACA: Kapal persiaran WS Westerdam akhirnya berlabuh di Kemboja
Katanya, walaupun Kemboja adalah sebuah negara miskin, pendiriannya sama dengan masyarakat antarabangsa dalam menangani isu-isu di peringkat serantau dan global.
"Saya ingin maklumkan kepada negara kita kenapa saya membuat keputusan untuk membenarkan kapal itu berlabuh di dalam wilayah Kemboja.
"Seperti yang saya katakan, keadaan sebenar Kemboja adalah ia bebas koronavirus, tetapi faktor takut itu memang wujud," katanya.
Beliau berkata, setakat ini, tidak ada warga Kemboja yang dijangkiti virus itu.
BACA: Kes disahkan koronavirus di Thailand bertambah satu lagi, jumlahnya terkini 33
BACA: COVID-19: Ada cubaan kapal asing berlabuh di perairan negara
#China #coronavirus #COVID-19 #Hun Sen #kapal persiaran #koronavirus #MS Westerdam #pelabuhan #Preah Sihanouk #Sihanoukville