COVID-19: Ada cubaan kapal asing berlabuh di perairan negara

Ada percubaan atau permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong, iaitu kapal Westerdam dan Saphhire Princess.

Jabatan Imigresen melaporkan bahawa ada percubaan atau permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong, iaitu kapal Westerdam (gambar) dan Sapphire Princess. - AP | Astro Awani
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan Malaysia tidak membenarkan mana-mana kapal asing berlabuh di perairan negara.

Katanya, ketetapan itu khususnya kepada mana-mana pihak yang enggan berkongsi maklumat penting berhubung penularan wabak koronavirus (COVID-19).

Tegas Wan Azizah, usaha itu sebagai langkah mengekang penyebaran wabak tersebut.

“Jabatan Imigresen melaporkan bahawa ada percubaan atau permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong, iaitu kapal Westerdam dan Sapphire Princess.

“Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam (13 Februari 2020).

“Manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Sebelum itu, Wan Azizah mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee (HLC), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berhubung Kluster Penyakit Novel Coronavirus (COVID-19) Bilangan 2 Tahun 2020.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai dan agensi berkaitan.

Terdahulu, Kapal persiaran WS Westerdam diterima berlabuh di perairan Kemboja selepas ditolak oleh empat buah negara yang khuatir dengan wabak COVID-19.

Difahamkan, kapal tersebut yang membawa 2,200 penumpang termasuk 802 anak kapal sebelum itu tidak diterima untuk berlabuh di empat buah negara iaitu di Jepun, Filipina, Taiwan dan Thailand.