JAKARTA: Indonesia hari ini mencatatkan 1,338 kes kematian harian akibat COVID-19, jumlah tertinggi direkodkan setakat ini walaupun angka kes baharu berkurang kepada 34,257 dalam tempoh 24 jam lepas.

Indonesia meneruskan dengan langkah-langkah tegas untuk mengekang pandemik itu dengan umat Islam di negara berpenduduk Muslim terbesar di dunia itu menyambut Aidiladha esok dengan larangan solat sunat berjemaah Aidiladha di Pulau Jawa dan Bali.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia menetapkan provinsi lain (selain Pulau Jawa dan Bali serta kabupaten atau kota yang berstatus zon merah) dibenarkan menjalankan solat sunat dengan protokol kesihatan COVID-19 yang ketat.

"Solat berjemaah di provinsi lain dibenarkan dengan syarat kapasiti maksimum di rumah ibadah hanya 30 peratus dengan amalan protokol kesihatan ketat," kata Jurucakap Pemerintah berkenaan Penanganan COVID-19, Wiku Adisasmito dalam sidang media menerusi webinar.Ibadah korban juga dibenarkan, namun mereka yang terlibat dalam aktiviti itu perlu menjalani ujian antigen (ujian saringan), dan pengagihan daging korban tidak dibenarkan diadakan menerusi majlis keramaian.

Kes COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat mendadak berikutan aktiviti pulang kampung semasa sambutan Aidilfitri lepas serta penularan varian Delta.

Pemerintah Indonesia turut menguatkuasakan larangan bermudik bagi sambutan Aidiladha ini.Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 79,420 orang.Kes baharu COVID-19 di Indonesia hari ini direkodkan sebanyak 34,257 menjadikan jumlah kes keseluruhan kini meningkat kepada 2,911,733 kes, dengan sebanyak 542,938 pesakit aktif (dirawat).-- BERNAMA