Jumlah kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat melepasi angka 35,000 orang dengan mencatatkan 2,000 kematian.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan peningkatan jumlah kes baharu yang drastik sekaligus menjadi wilayah tertinggi kes kematian akibat virus itu iaitu berjumlah 553 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto,bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 979 tambahan kes positif baharu di seluruh Indonesia dengan 41 lagi kematian berlaku.

"Kes positif kini berjumlah 35,295 manakala sebanyak 14,052 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Bagi tempoh 24 jam itu, Jawa Timur mencatatkan 297 kes positif baharu, dengan 23 lagi kematian.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi keseluruhan iaitu 537 kes, diikuti Jawa Barat (161), Jawa Tengah (104) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA