Selepas ditutup sejak beberapa bulan lalu berikutan COVID-19, Jordan mengumumkan akan membuka semula lapangan terbang bagi penerbangan antarabangsa bermula 5 Ogos.

Pegawai Pemerintah Jordan berkata, perkara itu dimaklumkan pihak berkuasa peraturan penerbangan awam negara berkenaan.

Sementara itu, Ketua Lembaga Pesuruhjaya Penguasa Peraturan Penerbangan Awam, Haitham Misto berkata, kebenaran itu diberikan kepada negara tertentu dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19.

"Hal ini juga telah dimaklumkan kepada semua syarikat pengendali penerbangan di negara-negara terpilih bahawa Lapangan Terbang Jordan bersedia menerima penerbangan antarabangsa.

"Bagaimanapun penerimaan itu berdasarkan metodologi yang disediakan Kementerian Kesihatan selain bergantung kepada keadaan epidemiologi.

"Pelancong yang datang dari negara hijau juga tidak memerlukan menjalani proses kuarantin selama 14 hari tetapi perlu melakukan ujian saringan sebelum melakukan perjalanan," katanya yang dipetik menerusi laporan CNN pada Ahad.

Dalam pada itu, Menteri Negara Yordania, Amjad Al-Adayleh berkata, kerajaan menetapkan hanya 22 buah negara dalam status hijau dibenarkan untuk melakukan penerbangan masuk ke negara itu.

"Antara negara yang dibenarkan termasuk Austria, Canada, Malaysia, China, Georgia, Denmark, Cyprus, Taiwan dan Thailand.

Bagaimanapun senarai negara berkenaan akan berubah dalam tempoh dua minggu sekali.