KESAN penularan COVID-19 kepada rumah penjagaan kesihatan dan warga emas mula mendapat perhatian pelbagai media.

Menurut The Associated Press, sekurang kurangnya 6,400 kematian di rumah warga emas dan penjagaan kesihatan jangka panjang dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).

Laporan akhbar The Guardian pula menyatakan lebih 2,500 kes kematian di rumah penjagaan warga emas di New York disyaki akibat COVID-19 sehingga Selasa lepas.

Di New York, 19 daripada rumah penjagaan warga emas dan kesihatan kerajaan melaporkan lebih 20 kematian setiap satu dikatakan berkaitan COVID-19.

Antara yang teruk terjejas adalah sebuah rumah penjagaan warga emas di Brooklyn yang melaporkan 55 kematian.

Ada juga rumah penjagaan yang melaporkan sekurang-kurangnya 40 kematian setiap satu di Bronx, Queens dan Staten Island.

Ada yang turut mendedahkan, mayat mangsa terpaksa disimpan bertindih-tindih di dalam bilik simpanan.

Menurut Gabenor New York, Andrew Cuomo kekurangan maklumat ini dikatakan berpunca daripada keinginan rumah-rumah ini untuk menjaga privasi maklumat dan data pesakit.

Ada juga laporan menyatakan ujian tidak dilakukan untuk mengenalpasti punca kematian.

Laporan The Associated Press ini mengumpulkan maklumat daripada laporan media.

Lebih menyayat hati adalah kesukaran ahli keluarga untuk mendapatkan maklumat tentang status ahli keluarga mereka di rumah penjagaan ini.

Ahli keluarga juga dilarang melawat ahli keluarga mereka dan ada laporan yang menyebut, warga emas ini meninggal dunia dengan hanya ditemani kakitangan rumah penjagaan tersebut.