KES COVID-19 global melepasi 500 juta pada Khamis dengan sub-varian BA.2 Omicron melonjak di banyak negara di Eropah dan Asia.

Peningkatan BA.2 merupakan punca atas lonjakan baru-baru ini di China serta rekod jangkitan tinggi di Eropah.

Ia telah dipanggil 'varian stealth' kerana lebih sukar untuk dikesan daripada yang lain.

Korea Selatan mendahului dunia dalam jumlah purata kes harian baharu, dengan melaporkan lebih daripada 182,000 jangkitan sehari dan menyumbang satu daripada setiap empat jangkitan di seluruh dunia.

Kes baharu meningkat di 20 daripada lebih 240 negara dan wilayah yang dikesan, termasuk Taiwan, Thailand dan Bhutan.

Shanghai sedang memerangi wabak COVID-19 terburuk di China sejak virus itu pertama kali muncul di Wuhan pada akhir 2019, dengan hampir 25,000 kes tempatan baharu dilaporkan.

Sementara itu, beberapa negara Eropah kini melihat peningkatan yang lebih perlahan dalam kes baharu, atau bahkan penurunan, tetapi rantau itu masih melaporkan lebih 1 juta kes kira-kira setiap dua hari.

Di Jerman, purata tujuh hari jangkitan baharu telah menurun dan kini berada pada 59 peratus daripada kemuncak sebelumnya pada akhir Mac.

Kes-kes baharu juga menurun di United Kingdom dan Itali, manakala kes-kes baharu kekal tinggi di Perancis.

Dalam pada itu, kes COVID-19 di Amerika Syarikat telah menurun dengan mendadak selepas mencapai paras rekod pada Januari, tetapi kebangkitan semula kes di bahagian Asia dan Eropah telah menimbulkan kebimbangan bahawa gelombang lain mungkin menyusuli di Amerika Syarikat.

Agensi Kesihatan Awam Kebangsaan Amerika Syarikat berkata, sub-varian BA.2 Omicron dianggarkan hampir tiga daripada setiap empat varian koronavirus di negara itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, varian BA.2 kini membentuk kira-kira 86 peratus daripada semua kes yang dijujukan di seluruh dunia.

Ia diketahui lebih mudah ditularkan daripada sub-varian BA.1 dan BA.1.1 Omicron.

Bukti setakat ini bagaimanapun mencadangkan BA.2 tidak berkemungkinan menyebabkan penyakit yang teruk.

Para saintis terus menekankan vaksin adalah penting untuk mengelakkan kemudaratan disebabkan oleh virus COVID-19.

Kira-kira 64.8 peratus penduduk dunia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, walaupun hanya 14.8 peratus orang di negara berpendapatan rendah telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.