PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in memberi amaran pada Ahad akan meningkatan sekatan pergerakan pada tahap tertinggi setakat ini, selepas negara itu merekodkan lonjakan jangkitan kes COVID-19 dua hari berturut-turut.

Mempengerusikan mesyuarat tergempar di Ibu Pejabat Pusat Pencegahan Bencana dan Keselamatan buat pertama kalinya sejak Februari, Jae-in mendesak semua pihak supaya sentiasa mematuhi arahan, menjaga keselamatan  dan mengekang penyebaran virus berkenaan.

"Sekiranya wabak ini tidak mampu dikekang sekarang, tiba masanya yang kritikal untuk kita mempertimbangkan meningkatkan langkah-langkah penjarakan sosial kepada tahap 3," katanya di Seoul, merujuk kepada sistem lima lapisan negara itu.

Greater Seoul, yang mempunyai populasi separuh daripada keseluruhan 52 juta penduduk Korea Selatan, ketika ini berada pada sekatan tahap 2.5.

Perhimpunan melebihi 50 orang tidak dibenarkan dan restoran tidak boleh menerima pelanggan selepas pukul 9 malam. 

Korea Selatan melaporkan 1,030 kes jangkitan baharu pada Ahad, naik daripada 950 kes pada Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu meningkat kepada 42,766 dengan 530 kematian.

Daripada kes jangkitan baharu tersebut, 1,002 merupakan kes tempatan.

Sekatan tahap 3 bermaksud penutupan atau 'lockdown' untuk pertama kalinya di negara ekonomi keempat terbesar di Asia ini.

Susulan itu, sekolah akan mengadakan pembelajaran secara jarak jauh, syarikat akan mengamalkan langkah bekerja dari rumah dan perhimpunan melebihi 10 orang tidak dibenarkan.