GENEVA:Laporan pasukan misi mencari asal-usul koronavirus di China akan diterbitkan minggu depan.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata selepas perbincangan dengan anggota pasukan, semua hipotesis tetap terbuka dan memerlukan analisis serta kajian lanjut.

"Pasukan pakar sedang menyiapkan laporan ringkasan yang kami harap akan diterbitkan minggu depan. Dan laporan akhir penuh akan diterbitkan dalam beberapa minggu mendatang.

"Kami berharap dapat menerima laporan tersebut yang akan disiarkan secara terbuka ketika laporan ringkasan diterbitkan," katanya.

Jelasnya lagi, misi itu tidak akan mempunyai semua jawapan namun ia menambah maklumat penting dan membawa lebih dekat untuk memahami asal-usul koronavirus itu.

Kunjungan pasukan WHO mengambil masa berbulan-bulan untuk berunding setelah China hanya menyetujuinya apabila ditekan masyarakat antarabangsa pada pertemuan Majlis Kesihatan Sedunia Mei lalu.

Ketika itu Beijing menolak permintaan untuk satu siasatan yang bebas dijalankan.

Pihak berkuasa terus mengawasi maklumat mengenai kemungkinan penyebab wabak penyakit yang kini menjangkiti lebih 105 juta orang dan membunuh lebih sehingga 2.3 juta di seluruh dunia.

Awal minggu ini pasukan itu menyatakan koronavirus baharu kemungkinan besar pertama kali muncul pada manusia setelah dijangkiti dari haiwan, sambil menambah teori alternatif bahawa virus 'terlepas' dari makmal China adalah tidak benar.

Ketua Misi WHO, Peter Ben Embarek berkata kunjungan ke Wuhan, bandar di mana kes-kes koronavirus pertama ditemui tidak mengubah secara drastik pemahaman semasa mengenai wabak itu ketika awal kemunculannya.

Pada Jumaat, Embarek menyatakan bahawa jika pasukan itu pergi lebih awal ke China, mereka tidak akan mempunyai data yang sama untuk dilihat.