Gabenor New York Andrew Cuomo mengumumkan peraturan tambahan untuk pusat jagaan di bawah seliaan pihak berkuasa negeri dalam usaha membendung COVID-19.

Dalam taklimat hariannya di Albany, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri dan peguam negeri New York, Letitia James akan melancarkan siasatan untuk memastikan polisi baharu itu dipatuhi.

Cuomo mengambarkan COVID-19 di pusat penjagaan sedang merebak dengan teruk.

Katanya, sesiapa yang mahu memasuki pusat jagaan, termasuk pelawat dan kakitangan, perlu menjalani ujian saringan pantas COVID-19.

Mereka hanya akan dibenarkan masuk selepas 20 minit menerima keputusan saringan itu.

Menurut laporan Associated Press, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan 11,128 kes kematian akibat virus itu di rumah jagaan dan pusat rawatan jangka panjang di seluruh negara.

Kira-kira satu pertiga daripada itu melibatkan penghidap jangkitan di New York.

Selain itu, Cuomo berkata beliau akan bekerjasama dengan gereja tempatan di beberapa kawasan Afrika-Amerika dan Latino di New York untuk membantu meningkatkan ujian di komuniti tersebut yang terjejas teruk akibat pandemik itu.