WASHINGTON DC: Rawatan menggunakan ubat antiviral COVID-19 keluaran Pfizer, Paxlovid melonjak 315 peratus sejak empat minggu lalu.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Masyarakat Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata hampir 115,000 pil Paxlovid telah dikeluarkan pada minggu pertama Mei.

White House bulan lalu menyasarkan untuk meluaskan akses kepada rawatan seperti Paxlovid dengan menggandakan bilangan lokasi di mana ia tersedia.

Malah dalam beberapa minggu kebelakangan, negara Uncle Sam itu telah meningkatkan jumlah lokasi pemberian Paxlovid daripada 20,000 kepada kira-kira 35,000 dan akan terus berusaha untuk meningkatkan ketersediaan ubat antiviral itu. 

Paxlovid diluluskan untuk individu berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 daripada mengalami gejala teruk. Ia perlu diambil selama lima hari sejurus dikesan bergejala.

Data menunjukkan AS mencatatkan purata hampir 97,000 kes baharu sehari, meningkat daripada kira-kira 73,000 kes seminggu yang lalu.

Kes meningkat secara beransur-ansur sejak ia mencecah paras harian terendah baru-baru ini iaitu 30,000 jangkitan baharu pada akhir Mac.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada Selasa menganggarkan kira-kira separuh jangkitan minggu lepas adalah daripada subvarian BA.2.12.1 bagi varian Omicron, yang telah meningkat sejak pertengahan April.

Pada masa ini, terdapat hampir 20,000 pesakit dimasukkan ke hospital di seluruh negara, meningkat daripada 16,500 minggu lalu.