ADELAIDE:Peningkatan kes positif baharu COVID-19 secara mendadak di Adelaide, Australia menyaksikan pihak berkuasa tempatan mengenakan semula sekatan pergerakan di bandar berkenaan dengan menutup dua buah sekolah dan sebuah restoran makanan segera.

Ia susulan peningkatan daripada tiga kes kepada 17 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam di bandar kedua terbesar di Australia itu.

Pegawai kesihatan tempatan berkata mereka percaya bahawa seorang pekerja dari sebuah hotel, yang merupakan pusat kuarantin, dijangkiti wabak itu.

Individu tersebut kemudiannya menjangkiti ahli keluarganya yang lain.

Orang ramai beratur di stesen ujian saringan sementara bagi menjalani ujan berkenaan - AP

Pihak berkuasa kini berusaha membendung penularan wabak itu dan telah membuka stesen ujian saringan sementara dan menjalani pengesanan kontak rapat.

"Kami kini berdepan dengan cabaran yang amat besar tetapi kami perlu bangkit untuk menghadapi cabaran ini.

"Masa itu emas, dan kami perlu bertindak pantas dan tepat. Kami tidak boleh berlengah, menunggu wabak ini terus menular.

"Kami perlu bertindak pantas dan tegas supaya dapat membendung penularan ini," kata Ketua Menteri Australia Selatan, Steve Marshall.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata, kerajaannya akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Australia Selatan.

Dalam perkembangan yang berlainan, pihak berkuasa berkata negeri Victoria merekodkan kosong kes buat 17 hari berturut-turut susulan penularan pandemik itu di Melbourne pada awal tahun ini.