COVID-19: Sembilan kes baharu di Singapura, dua dikaitkan perhimpunan masjid di Malaysia

Bernama
Mac 12, 2020 21:53 MYT
Setakat Khamis, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura ialah 187. - Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura telah mengesahkan sembilan lagi kes jangkitan COVID-19 di republik itu, dan dua daripadanya dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di sebuah masjid Malaysia.
Menurut kenyataan MOH pada Khamis, kes itu membabitkan dua lelaki rakyat Singapura berusia 29 dan 48 tahun yang menghadiri perhimpunan itu.
Kedua-duanya disahkan dijangkiti COVID-19 pagi Khamis dan ditempatkan di bilik isolasi Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit di sini, katanya.
Berdasarkan perkembangan baharu itu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di republik itu setakat ini ialah 187.
Terdahulu, di KUALA LUMPUR, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa seorang rakyat Malaysia dijangkiti COVID-19 di perhimpunan masjid di ibu negara Malaysia itu.
Mengulas langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan penularan COVID-19 sebagai pandemik global pada 11 Mac, MOH berkata: "Singapura telah membuat perancangan untuk masa depan dan kamu secara progresif telah menyediakan beberapa kaedah sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan situasi semakin memburuk, sama ada di dalam atau luar negara."
"Situasi di Singapura masih terkawal dan kami tidak mengubah tahap DORSCON," menurut kenyataan itu.
BACA: Fahami perbezaan epidemik, endemik dan pandemik
Singapura telah meningkatkan tahap DORSCON (Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit) kepada "Jingga" daripada "Kuning" pada 7 Feb.
Tahap-tahap dalam DORSCON ialah Hijau, Kuning, Jingga dan Merah dengan Hijau merupakan amaran paling rendah manakala Merah yang tertinggi.
Setakat ini, kementerian itu berkata sejumlah 96 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar hospital.
BACA: Dorscon jingga, bantuan tergendala; warga Singapura kiasu, rak pasar raya licin disapu
Daripada 91 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya adalah stabil atau semakin pulih manakala sembilan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kenyataan itu.
Sehingga tengah hari Khamis, MOH mengenal pasti sejumlah 4,550 kontak rapat yang telah dikuarantin.
-- BERNAMA
#COVID-19 #DORSCON #jangkitan #Kementerian Kesihatan #koronavirus #Kuala Lumpur #masjid #perhimpunan #rakyat Malaysia #Singapura #tabligh #tahap amaran