Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata situasi COVID-19 di republik itu masih terkawal.

"Kita tidak akan menaikkan tahap DORSCON (Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit) kepada Merah," katanya dalam ucapan mengenai COVID-19 yang disiarkan melalui televisyen pada Khamis.

Beliau berucap dalam tiga bahasa dan menyentuh tiga aspek iaitu perubatan, ekonomi dan psikologi.

Republik itu telah menaikkan tahap amaran DORSCON kepada "Jingga" daripada "Kuning" pada 7 Feb.

Tahap-tahap dalam DORSCON ialah Hijau, Kuning, Jingga dan Merah dengan Hijau merupakan amaran paling rendah manakala Merah yang tertinggi.

Lee juga berkata Singapura tidak akan mengenakan langkah pengurungan atau pengasingan seperti yang dilakukan oleh kerajaan China, Korea Selatan atau Itali.

Republik itu setakat ini mencatat 187 kes positif manakala 96 pesakit telah pulih sepenuhnya.

Mengulas kesan ekonomi, perdana menteri itu berkata kerajaan sedang mengusahakan pakej kedua memandangkan ekonomi Singapura "terjejas teruk."

"Itulah sebabnya kami mewujudkan Pakej Sokongan dan Penstabilan S$4 bilion (RM12.1 bilion) dalam Bajet bulan lepas bagi membantu perniagaan, pekerja dan isi rumah mengharungi keadaan dalam tempoh terdekat.

Lee berkata republik itu menjangkakan lebih banyak kes import, begitu juga dengan kluster baharu serta gelombang baharu jangkitan, kali ini dari banyak negara berbanding satu atau dua.

Singapura telah mengenakan sekatan perjalanan bagi China, Iran, Korea Selatan dan Itali.

"Kita perlu memperketatkan peraturan buat sementara, meskipun kita tidak boleh menutup negara kitan sepenuhnya dari dunia luar," katanya.

Lee juga berharap rakyat Singapura memahami bahawa sepanjang tempoh ini mereka mungkin perlu memendekkan upacara keagamaan atau mengurangkan kehadiran dalam perhimpunan keagamaan.

Sebagai langkah pencegahan terkini, Singapura pada Khamis mengumumkan bahawa semua masjid akan ditutup untuk tempoh sekurang-kurangnya lima hari untuk kerja-kerja disinfeksi manakala solat Jumaat esok dibatalkan.

"Di Korea Selatan, kes jangkitan itu merebak menerusi kumpulan gereja Shincheonji. Di Singapura, dua daripada kluster besar kita berlaku dalam kalangan kumpulan gereja. Dan beberapa rakyat Singapura yang menghadiri perhimpunan keagamaan antarabangsa yang besar di Kuala Lumpur baru-baru ini telah dijangkiti virus tersebut.

"Isunya bukan mengenai agama tetapi virus itu boleh menular dengan pantas dan menjangkiti ramai orang dalam suasana yang sesak seperti perhimpunan dan upacara keagamaan. Sebab itu Arab Saudi menghentikan buat sementara ibadah umrah dan Paus menyiarkan khutbahnya secara penstriman langsung bagi mengelak orang ramai berhimpun di Dataran Saint Peter," kata Lee.

-- BERNAMA