COVID-19: Sri Lanka sasar semua rakyat atas 30 tahun terima vaksin menjelang September

Bernama
Jun 26, 2021 15:14 MYT
Lebih banyak dos vaksin Sinopharm dan Sinovac dijangka tiba dari China pada Julai. - Gambar/ REUTERS
COLOMBO: Sri Lanka menyasarkan semua rakyatnya berusia 30 tahun ke atas akan menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang September, kata Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Dalam ucapannya pada Jumaat, Rajapaksa berkata Sri Lanka sudah menerima 1,264,000 dos vaksin AstraZeneca, 3.1 juta dos vaksin Sinopharm dan 130,000 dos vaksin Sputnik V, lapor Agensi Berita Xinhua.
Selain itu katanya, lebih banyak dos vaksin Sinopharm dan Sinovac dijangka tiba dari China pada Julai dan usaha sedang dibuat untuk mendapatkan lagi dua juta dos vaksin Sputnik V dari Rusia.
Mengulas mengenai sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan di negara itu, beliau berkata untuk berjaya mengekang penularan wabak COVID-19, rakyat harus menyokong langkah pencegahan yang dilaksanakan kerajaan.
Katanya, Sri Lanka dilanda gelombang ketiga wabak akibat perhimpunan besar-besaran dan melakukan perjalanan sempena cuti April lalu.
"Sumber manusia dan kemudahan lain di sektor kesihatan tidak mencukupi untuk menangani keadaan. Oleh itu, kerajaan terpaksa ambil langkah kenakan sekatan pergerakan," kata presiden.
Sekatan itu menyebabkan beberapa industri turut terjejas termasuk sektor pelancongan. Industri pakaian yang selama ini memberikan kira-kira US$5 bilion dalam pendapatan negara turut terkesan.
-- BERNAMA
#COVID-19 #suntikan #Sinopharm #AstraZeneca #Sri Lanka #vaksin #sektor pelancongan