WASHINGTON: Subvarian COVID-19 Omicron BA.4 dan BA.5 menular dengan pantas di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, BA.4 merangkumi 16.5 peratus daripada keseluruhan varian di negara itu, manakala BA.5 menyumbang 53.6 peratus.

Kedua-dua subvarian Omicron itu membentuk 70.1 peratus daripada varian koronavirus di negara itu setakat 2 Julai.

BA.4 dan BA.5 sebelum ini hanya membentuk 52 peratus daripada varian pada 25 Jun.

Kedua-dua sub-varian Omicron itu telah ditambah dalam senarai pemantauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Mac dan ditetapkan sebagai varian membimbangkan oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) minggu lalu mengesyorkan kepada syarikat pembuat vaksin COVID-19 untuk menukar reka bentuk dos penggalak mereka mulai musim luruh.

Ini bagi memasukkan komponen yang disesuaikan bagi memerangi subvarian BA.4 dan BA.5 itu.