BANGKOK:Thailand mencatatkan 201 kes baharu COVID-19, dengan tiada kes kematian baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sehingga kini 24,104 dan 80 kematian.

Penolong Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, daripada 201 kes baharu itu, 185 kes jangkitan tempatan di mana 96 daripadanya mendapatkan rawatan di hospital dan 89 daripada menerusi pengesanan aktif.

Beliau berkata, 16 lagi kes baharu merupakan kes import.

"Sejumlah 885 pesakit yang pulih dilaporkan hari ini. Pada masa ini kes yang pulih melebihi kes jangkitan baharu," katanya pada taklimat COVID-19 harian pada Khamis.

Dr Apisamai berkata 4,225 pesakit sedang menerima rawatan termasuk 1,531 di hospital lapangan.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan akan membincangkan langkah-langkah kelegaan di Samut Sakhon, pusat kepada penularan COVId-19 terkini, kerana situasi yang semakin baik.

Katanya, pegawai kesihatan akan mengadakan 8,000 ujian antibodi sehari di Samut Sakhon, bermula 15 Feb.

"Mereka yang telah mempunyai antibodi akan dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu Apisamai berkata, pihak berkuasa kesihatan telah mengadakan ujian pengesanan aktif di 1,880 lokasi termasuk kilang, pasar dan pusat komuniti di Samut Sakhon.

Beliau berkata, strategi 'gelembung dan tutup' telah dikenakan di sembilan kilang yang melibatkan 42,424 pekerja di Samut Sakhon.

"Lebih daripada 1 peratus telah diuji positif," katanya.

-- BERNAMA