LONDON: Setiausaha Luar Britain memberi amaran dunia tidak akan selesai dengan proses vaksinasi sehingga tahun 2024, jika mengambil kira kadar suntikan semasa.

Justeru, Dominic Raab mendesak negara-negara lain bergabung dengan Britain dalam menderma vaksin agar komuniti dunia selesai divaksin pada pertengahan 2022.

"Kami telah beri komitmen bekalkan 100 juta dos vaksin daripada lebihan bekalan domestik ke negara-negara termiskin dan paling terjejas di seluruh dunia menjelang pertengahan tahun depan.

"Kumpulan pertama iaitu sebanyak 9 juta dos akan diagihkan pada Jumaat dan akan diberi kepada negara-negara yang terjejas seperti Loas dan Kemboja serta rakan kongsi kami seperti Indonesia dan Malaysia selain sebilangan negara Komanwel yang meliputi Kenya sehingga ke Jamaica," jelas Raab.

BACA: UK sumbang 415,000 dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia

Katanya tindakan ini bukti Britain tidak hanya mementingkan diri sendiri sebaliknya menunjukkan negara berkenaan mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan nyawa demi kebaikan semua di dunia.

Raab berharap negara lain akan mengikuti jejak langkah Britain yang mula mendermakan kumpulan pertama 100 juta dos vaksin.

Jelasnya, berdasarkan unjuran semasa kadar vaksinasi, komuniti dunia hanya akan selesai divaksin pada 2024.

Katanya lagi britain ingin mempercepatkan tarikh tersebut pada pertengahan tahun depan sekali gus membuat perbezaan besar bagi negara-negara terjejas.