PRESIDEN Rusia Vladimir Putin mengesahkan beliau telah mengambil vaksin COVID-19 ujian melalui hidung, tiga hari selepas menerima suntikan dos penggalak.

Pengesahan Putin dibuat ketika Rusia berdepan lonjakan jangkitan dan kematian terburuk sejak wabak itu bermula.

Putin divaksin dengan Sputnik V, vaksin COVID-19 yang dibangunkan Rusia sendiri.

Pada Ahad lalu, Putin menerima dos penggalak Sputnik Light, versi satu dos.

Beliau juga secara sukarela mahu mengambil bahagian dalam menguji versi hidung Sputnik V.

Selaras dengan protokol saintifik yang ditetapkan, vaksin itu perlu melalui beberapa fasa percubaan, termasuk yang melibatkan ribuan orang bagi memastikan ia selamat dan berkesan untuk digunakan.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan Rusia memberikan kebenaran peraturan untuk ujian awal vaksin hidung Sputnik V dalam kalangan 500 sukarelawan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Rusia berdepan oleh lonjakan COVID-19 yang tertinggi.

Lonjakan itu dipercayai ada kaitan dengan kadar vaksinasi yang rendah dan tahap kepatuhan orang awam yang semakin rendah.

Kurang 40 peratus daripada hampir 146 juta orang Rusia telah diberi vaksin sepenuhnya, walaupun negara itu meluluskan vaksin COVID-19 beberapa bulan sebelum kebanyakan dunia.

Kementerian Kesihatan Rusia dijangka meluluskan versi Sputnik V untuk remaja berumur 12 hingga 17 tidak lama lagi.

Rusia melaporkan 33,558 jangkitan baharu pada Rabu dan 1,240 kematian.