COVID-19: WHO khuatir vaksin sempurna mungkin tidak akan ditemukan

Dr Tedros Adhanom Gabreyesus berkata walaupun usaha mencari vaksin berkesan dipercepatkan, -penyelesaian- yang sempurna mungkin tidak akan dijumpai.

DR TEDROS: Timbul kebimbangan bahawa mungkin tiada vaksin yang berkesan atau perlindungan yang diberikan hanya akan bertahan beberapa bulan. - gambar fail | Astro Awani
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang vaksin untuk melawan COVID-19 mungkin tidak akan ditemui.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Gabreyesus berkata walaupun usaha mencari vaksin berkesan dipercepatkan, “penyelesaian” yang sempurna mungkin tidak akan dijumpai.

Setakat Selasa (4 Ogos), wabak COVID-19 mengorbankan hampir 696,556 orang dan menjangkiti lebih 18.4 juta orang.

Dalam usaha menghentikan virus tersebut daripada terus merebak, Dr Tedros menyarankan negara-negara agar mengamalkan langkah-langkah seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, pencucian tangan dan ujian.



“Beberapa vaksin kini dalam fasa ketiga ujian klinikal dan kami berharap dapat menemui vaksin yang berkesan supaya dapat membantu dalam mencegah orang ramai daripada jangkitan.

“Namun, pada saat ini, tiada lagi penyelesaian dan mungkin ia tidak akan ditemukan.

“Timbul kebimbangan bahawa mungkin tiada vaksin yang berkesan atau perlindungan yang diberikan hanya akan bertahan beberapa bulan.

“Tetapi kami tidak akan tahu, selagi ujian klinikal tidak selesai,” katanya pada sidang media di ibu pejabat WHO di Geneva.

Ketua Program Kecemasan WHO Mike Ryan berkata negara seperti Brazil dan India yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, perlu bersiap sedia untuk berdepan pertempuran yang besar dan “mengatur semula” pendekatan mereka.

“Beberapa negara benar-benar perlu melihat semula cara mereka menangani pandemik tersebut dalam negara mereka,” kata Ryan.