MENTERI Kesihatan Britain yang baharu menegaskan, beliau tidak melihat sebarang alasan untuk mengekalkan sekatan sosial yang dilaksanakan ketika ini selepas tarikh 19 Julai.

Kenyataan ini dibuat Sajid Javid walaupun ketika ini wujud kebimbangan susulan peningkatan berterusan dalam jangkitan baharu COVID-19.

Beliau memberitahu Parlimen pada Isnin, kerajaan terhutang budi dengan rakyat United Kingdom (UK) yang telah banyak berkorban untuk mengembalikan kebebasan mereka secepat mungkin.

Katanya, tarikh 19 Julai dianggap permulaan perjalanan baharu yang mengujakan untuk negara itu.

"Saya menghabiskan hari pertama saya sebagai menteri kesihatan baru semalam melihat data dan mengujinya. Walaupun kita memutuskan untuk tidak meneruskan fasa keempat, kita tiada alasan untuk melepasi 19 Julai.

"Kerana sebenarnya, tidak akan ada tarikh yang sifar risiko COVID-19. Kita tahu bahawa kita tidak boleh dengan mudah menghapuskannya. Kita harus belajar untuk hidup dengannya.

"Kita juga tahu bahawa orang ramai dan perniagaan memerlukan kepastian. Oleh itu, kita mahu setiap langkah yang kita ambil tidak terkebelakang," katanya di House of Commons, London.

Data COVID-19 pada Isnin mendedahkan, United Kingdom (UK) merekodkan 22,868 kes jangkitan baharu yang disahkan.

Ia satu jumlah peningkatan yang besar akibat daripada varian Delta yang mudah menular dan mendominasi negara itu ketika ini.