WASHINGTON:Debat Presiden kedua yang dijadual berlangsung pada 15 Oktober di antara Presiden Donald Trump dan seterunya daripada Parti Demokrat, Joe Biden telah dibatalkan oleh Suruhanjaya Debat Presiden (CPD).

Langkah itu diambil selepas Trump menolak cadangan CPD agar debat itu dianjurkan secara maya bagi mengekang penularan COVID-19.

Ia merupakan debat kedua daripada tiga debat presiden yang dijadual berlangsung di Miami sebelum pilihan raya Amerika Syarikat pada 3 November depan.

Tarikh bagi debat terakhir pula ditetapkan pada 22 Oktober di Nashville, Tennessee.

“Ia kini jelas bahawa tiada debat akan berlangsung pada 15 Oktober, dan CDP akan menumpukan perhatian kepada kesiapsiagaan untuk debat presiden terakhir pada 22 Oktober,” umum CDP dalam satu kenyataan.

Trump umum positif COVID-19 pada Jumaat lalu dan menerima rawatan di hospital selama tiga hari sebelum pulang ke White House pada Isnin.

Calon Republikan itu enggan menyertai debat pada 15 Oktober kerana menganggap debat yang diadakan secara maya “membazir masa”.

Pasukan kempen Trump pada Jumaat turut menuduh suruhanjaya tersebut bertindak secara bias dan berpihak kepada Biden.

“Tiada sebab yang berasaskan kepentingan perubatan untuk menghentikan debat pada 15 Oktober di Miami, kerana Presiden akan pulih dan bersedia untuk berdebat pada ketika itu,” kata jurucakap kempen Trump, Tim Murtaugh.

Sehingga kini, persoalan mengenai kebolehjangkitan virus COVID-19 pada Presiden itu masih tidak terjawab kerana White House enggan mengulas mengenai ujian saringannya.