DUBAI menggantung sementara operasi pembedahan tidak penting selama sebulan, serta melarang aktiviti hiburan secara langsung di hotel dan restoran, susulan peningkatan kes mendadak di bandar Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Pengawal kesihatan Dubai pada Rabu mengumumkan, penangguhan sementara pembedahan yang berkuat kuasa mulai 12 tengah malam Khamis adalah bagi memberi keutamaan kepada rawatan pesakit COVID-19.

Menurut laporan Reuters, Jabatan Pelancongan Dubai turut menetapkan larangan bagi aktiviti hiburan di kesemua hotel dan restoran di bandaraya itu susulan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis berkenaan.

Dubai telah melihat peningkatan kemasukan pelancong asing dan menjangkakan kemasukan 25 juta pelancong pada Oktober depan.

Hab perdagangan Timur Tengah itu telah membuka pintu masuk negara kepada pelancong asing pada Julai lalu bagi memulihkan sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik.

UEA merekodkan kes positif COVID-19 tertinggi dalam rekod iaitu 3,506 kes pada Rabu, namun tidak melaporkan secara terperinci butiran kes di setiap emiriah.