JUMLAH kumulatif kes positif global COVID-19 kini menghampiri angka 40 juta.

Ini berikutan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terkesan pandemik.

Ia melepasi angka 8 juta kes jangkitan. Ini diikuti India dengan 7.3 juta kes, manakala Brazil merekodkan lebih 5.17 juta kes. Jangkitan COVID-19 di Rusia pula melepasi angka 1.36 juta kes.

Sementara itu, Argentina, Columbia, Sepanyol dan Peru melepasi angka setengah juta kes. Turut melepasi 500,000 kes adalah Perancis, Mexico, Afrika Selatan, United Kingdom dan Iran.

Negara dalam lingkungan angka 300,000 sehingga 500,000 kes jangkitan COVID-19 adalah Chile, Iraq, Itali, Bangladesh dan Jerman

Manakala  negara yang melepasi angka 100,000 sehingga 200,000 adalah Kanada, Belgium, Romania, Maghribi dan Poland.

Terdapat juga beberapa negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000.



Sementara itu, statistik turut menunjukkan jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 melebihi 1.101 juta kes.

AS merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 218,000 kes. Ini diikuti Brazil dengan 152,000 kes.

Manakala India dan Mexico masing-masing merekodkan lebih 112,000 dan 85,000 kes kematian danUnited Kingdom mencatat 43,000 kes.

Itali, Sepanyol, Peru dan Perancis pula berkongsi angka korban melebihi 30,000 kes.

Negara yang melebihi angka 20,000 kes korban adalah Iran, Colombia, Argentina dan Rusia.

Lain-lain negara masih merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.