LESEN global untuk teknologi serologi yang mengesan antibodi COVID-19 akan diberikan kepada negara miskin dan berpendapatan sederhana tanpa syarat pembayaran royalti.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa, ini adalah perjanjian pertama seumpamanya untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Katanya, empat ujian sedia ada yang mengesan kehadiran antibodi SARS-CoV-2 boleh menentukan keputusan berhubung keperluan dos penggalak untuk melindungi daripada penyakit itu.

Perjanjian pelesenan bukan eksklusif dicapai dengan Majlis Penyelidikan Kebangsaan Sepanyol (CSIC), sebuah institut penyelidikan awam yang menawarkan teknologi sebagai kebaikan awam global, adalah lesen ujian pertama yang ditandatangani WHO Medicines Patent Pool (MPP).

Matlamat lesen itu adalah untuk memudahkan pembuatan pantas dan pengkomersilan ujian serologi COVID-19 CSIC di seluruh dunia.

Lesen itu akan bebas royalti untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana dan akan kekal sah sehingga tarikh paten terakhir tamat.

Ujian itu mudah digunakan dan sesuai untuk persekitaran luar bandar dengan infrastruktur makmal asas

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengalu-alukan perjanjian itu yang diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pembangun lain untuk berkongsi alat melawan COVID-19 yang telah membunuh 5.4 juta orang sejak ia muncul di China pada Dis 2019.

Katanya, ini adalah jenis lesen terbuka dan telus yang diperlukan untuk menggerakkan akses semasa dan selepas wabak.

Beliau turut menggesa pembangun vaksin, rawatan dan diagnostik COVID-19 untuk mengikuti contoh tersebut untuk mengubah keadaan wabak serta ketidaksamaan global yang berlaku ketika ini.