MODERNA Inc bakal menghantar 4 juta dos tambahan vaksin terhadap COVID-19 kepada Israel selepas melanjutkan kontrak dengan Kementerian Kesihatan negara itu, pada Jumaat.

Susulan itu, Israel kini memperoleh akses kepada 6 juta dos vaksin mRNA-1273 Moderna, namun harga serta tarikh penghantaran tidak diumumkan.

Pada Jun lalu, Israel menandatangani satu perjanjian dengan firma biotek Amerika Syarikat (AS) itu untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi melawan jangkitan COVID-19.

Negara dengan populasi lebih 9 juta itu setakat Jumaat merekodkan sejumlah 339,942 kes positif COVID-19 dan 2,890 kematian,.

Pada masa sama, negara itu turut mengadakan persetujuan dengan firma biotek United Kingdom, AstraZeneca Plc untuk mendapatkan 10 juta dos vaksin percubaan mereka.

Moderna dijangka meningkatkan kapasiti penghasilan vaksinnya di peringkat dunia dan berharap dapat mengedarkan antara 500 juta dan 1 bilion dos vaksin setahun bermula 2021.