GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai gabungan varian Omicron dan Delta yang menghasilkan 'tsunami' kes COVID-19.

Ketua Pengarah, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus bagaimanapun berharap tahun 2022 akan menjadi tahun dunia dapat menangani wabak itu.

"Virus ini akan terus berkembang dan mengancam sistem kesihatan kita jika kita tidak menambah baik tindak balas kolektif.

"Sekarang ini, Delta dan Omicron adalah ancaman berkembar yang mendorong peningkatan kes dan merekodkan angka tinggi, yang sekali lagi membawa kepada lonjakan kemasukan ke hospital dan kematian.

"Saya amat bimbang bahawa Omicron, yang lebih mudah berjangkit, beredar pada masa yang sama dengan Delta, membawa kepada tsunami kes," katanya.

Tedros turut menyelar negara kaya yang memburukkan lagi situasi wabak itu di seluruh dunia.

Katanya negara kaya mengamalkan populisme, nasionalisme sempit serta tidak berkongsi alatan kesihatan.

Perkara itu, katanya, telah menjejaskan kesaksamaan dan juga mewujudkan situasi ideal yang membolehkan kemunculan varian baharu.

Jelasnya, jumlah angka korban pada tahun 2021 meningkat kepada 3.5 juta berbanding 1.8 juta pada tahun 2020.

Bagaimanapun Dr Tedros tetap optimis tahun 2022 boleh mengakhiri wabak yang membawa maut itu.

Menyedari bahawa 92 daripada 194 negara di seluruh dunia telah terlepas sasaran untuk memvaksin 40 peratus daripada populasi mereka, beliau menggesa kerajaan dan masyarakat sivil untuk menyertai kempen baharu bagi mencapai liputan global 70 peratus menjelang pertengahan 2022.