COVID-19: Presiden AS terima dos penggalak

Astro Awani
September 27, 2021 22:30 MYT
Biden menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi memberi keyakinan kepada rakyat AS mengenai keperluan mendapatkan suntikan tambahan. -Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi memberi keyakinan kepada rakyat AS mengenai keperluan mendapatkan suntikan tambahan.
Joe Biden berkata dos penggalak amat penting namun perkara yang lebih penting adalah memastikan seramai mungkin individu mendapatkan vaksin.
Jelasnya, kira-kira 23 peratus rakyat AS masih belum menerima suntikan vaksin.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) minggu lalu menyokong dos tambahan vaksin Pfizer-BioNTech untuk individu berusia 65 tahun ke atas, orang dewasa keadaan kesihatan tertentu dan orang dewasa yang bekerja dalam risiko tinggi.
Biden yang berusia 78 tahun berkata isterinya Jill juga akan mendapat dos penggalak tidak lama lagi.
Biden menolak kritikan bahawa AS harus memberikan lebih banyak vaksin di seluruh dunia sebelum membenarkan dos penggalak.
Jelasnya, Amerika Syarikat membantu dan akan lakukan lebih banyak usaha dengan kerjasama negara lain.
#Joe Biden #dos penggalak #vaksin COVID-19 #Pfizer-BioNTech