PUSAT vaksinasi Croatia pada Khamis menyaksikan barisan panjang orang ramai yang mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 susulan peningkatan jumlah kes di negara itu.

Negara-negara di seluruh Eropah Tengah dan Timur melaporkan kes COVID-19 yang semakin meningkat, dengan beberapa wilayah yang mempunyai kadar vaksinasi rendah mencatatkan rekod jangkitan harian baharu.

Croatia, Slovenia dan Slovakia melaporkan jumlah tertinggi kes harian wabak itu, manakala negara lain mencatatkan jangkitan paling banyak dalam beberapa bulan.

Perdana Menteri Croatia Andrej Plenkovic turut menekankan kepentingan vaksin dalam memerangi COVID-19 dan menggesa orang ramai supaya mengambil suntikan berkenaan dengan segera.

Kebanyakan negara di Eropah Tengah dan Timur telah memvaksin sama ada separuh daripada populasi mereka atau kurang dari itu daripada purata Kesatuan Eropah.

Sekatan anti-virus juga berbeza-beza di setiap negara kerana kerajaan berusaha untuk meningkatkan kadar vaksin daripada mengenakan had ke atas perhimpunan dan langkah sekatan lain.

Di Croatia, pihak berkuasa melaporkan rekod tertinggi harian sebanyak 6,310 kes baharu dan 32 kematian.

Sistem kesihatan Croatia juga dalam keadaan tertekan dengan kemasukan pesakit yang semakin meningkat di negara yang mempunyai kepadatan penduduk sekitar 4.2 juta itu.

Mesyuarat kerajaan juga memutuskan untuk memantau keadaan dan mengarahkan pelanjutan kapasiti penjagaan intensif dan kecemasan.