Angka jangkitan baharu positif COVID-19 dunia terus meningkat dengan lebih 280,000 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Ini menjadikan jumlah kumulatif global kes positif COVID-19 ketika ini mencecah angka 28 juta.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 6.43 juta kes.

Ia diikuti India dengan 4.56 juta kes sementara Brazil merekodkan 4.23 juta kes.

Dalam pada itu, jangkitan COVID-19 di Rusia pula merekodkan 1.05 juta kes.

Peru, Columbia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol dan Argentina pula melepasi angka setengah juta kes.

Sementara itu, negara-negara yang melepasi angka 300,000 adalah Chile, Iran, Perancis, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi dan Pakistan.

Enam lagi negara yang merekodkan kes positif melebihi 200,000 ialah Turki, Itali, Iraq, Jerman, Filipina dan Indonesia.

Dalam pada itu, negara yang melepasi angka 100,000 kes adalah Ukraine, Kanada, Qatar, Bolivia, Kazakstan dan Mesir.

Negara-negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000 kes.

Sementara itu, statistik yang sama menunjukkan, angka kematian global meningkat lebih 6,000 kes dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini lebih 906,000.

Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 192,616 kes, diikuti Brazil dengan 129,522 kes.

Sementara India dan Mexico masing-masing merekodkan angka korban COVID-19 masing-masing dengan 76,271 kes dan 69,649 kes. United kingdom pula dilihat merekodkan 41,703 kes.

Itali, Perancis dan Peru pula berkongsi angka korban melebihi 30,000 kes.

Sepanyol, Iran dan Columbia pula merekodkan angka lebih 20,000 kes korban manakala lain-lain negara masih merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.