PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Khamis meluluskan penyimpanan vaksin COVID-19 Pfizer pada suhu seperti penyejuk beku farmaseutikal biasa, untuk tempoh sehingga dua minggu.

Ini melonggarkan syarat sebelum ini yang mewajibkan vaksin itu disimpan pada suhu ultra-rendah, antara -80 darjah Celsius dan -60 darjah Celsius.

"Pfizer menyerahkan data kepada FDA untuk menyokong suhu alternatif ini bagi pengangkutan dan penyimpanan. 

"Ia diharap dapat membantu mengurangkan beban mendapatkan alat kelengkapan simpanan suhu ultra-rendah dan membantu pengedaran vaksin dengan lebih meluas," kata Pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologik FDA, Peter Marks.

Katanya, FDA akan mengemas kini kertas fakta kepada penyedia perkhidmatan kesihatan susulan ketetapan terbaharu itu.

Penyejuk beku farmaseutikal biasa lazimnya beroperasi pada suhu -20 darjah Celsius.

BACA: FDA rancang benarkan vaksin Pfizer-BioNTech disimpan dalam suhu lebih tinggi

Pfizer sebelum ini mengemukakan permohonan berdasarkan kajian kepada kestabilan vaksin itu di bawah suhu lebih panas.

Sebaik dinyah sejuk beku, ia boleh disimpan dalam peti ais dengan suhu antara dua dan lapan darjah Celsius, sehingga lima hari.

Ia boleh disimpan pada suhu bilik untuk tempoh tidak lebih dua jam.