INTERNATIONAL

COVID-19: Vietnam gugur syarat ujian untuk ketibaan pengembara asing

Astro Awani 16/05/2022 | 00:15 MYT
Keadaan di kaunter pendaftaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, di Hanoi, Vietnam, 10 Okt 2021. - Gambar fail/REUTERS
VIETNAM menggugurkan syarat ujian COVID-19 bagi pengunjung yang memasuki negara itu bermula semalam (15 Mei) atas alasan wabak itu sudah dapat dikawal.

Langkah dibuat ketika mana jumlah kes COVID-19 di Vietnam menurun dengan ketara sejak 15 Mac lalu.

Menurut dokumen rasmi dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Vu Duc Dam pada Sabtu, Vietnam juga menyaksikan penurunan jumlah kematian COVID-19, kes teruk dan kemasukan ke hospital, sejak awal tahun lepas.

Dokumen itu memperakukan tindakan kebanyakan negara dunia melonggarkan sekatan COVID-19 ketika mana vaksin sedia ada berkesan terhadap pelbagai varian koronavirus.

Antara lain, Vietnam menggugurkan syarat pengisytiharan kesihatan untuk ketibaan asing mulai 27 April dan sijil vaksin COVID-19, keperluan kuarantin yang diperkenal mulai 16 Mac sejurus selepas ia membuka semula pelancongan untuk pelawat antarabangsa.

Negara itu setakat ini memberikan lebih daripada 216.5 juta dos vaksin COVID-19, di mana hampir 68.7 juta orang telah divaksin dengan sekurang-kurangnya dua dos.

Secara purata minggu lalu, ia melaporkan hanya satu kematian sehari akibat COVID-19.




#COVID-19 #ujian saringan #Pengembara #sekatan