COVID-19: WHO jalankan kajian terhadap tiga lagi ubat rawat pesakit

Astro Awani
Ogos 12, 2021 01:08 MYT
Tiga ubat-ubatan ini dipilih daripada pakar dalam kalangan panel bebas yang menilai semua bukti yang ada pada ubat-ubatan berkenaan. - Gambar hiasan
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menjalankan ujian terhadap tiga jenis ubat-ubatan yang digunakan bagi penyakit lain sebelum ini dalam usaha untuk merawat pesakit yang dijangkiti COVID-19.
Agensi itu memaklumkan tiga ubat-ubatan itu akan dimasukkan ke dalam kajian global yang sedang dijalankan bagi mengenal pasti potensi rawatan virus tersebut.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, tiga ubat-ubatan ini dipilih daripada pakar dalam kalangan panel bebas yang menilai semua bukti yang ada pada ubat-ubatan berkenaan.
"Hari ini kami ingin mengumumkan fasa seterusnya dalam ujian solidariti yang digelar 'solidarity plus', ia akan menguji tiga jenis ubat-ubatan, Artesunate - ubat untuk merawat malaria, Imatini - merawat beberapa jenis kanser dan Infliximab - untuk merawat penyakit imun seperti penyakit Crohn's.
"Ubat-ubatan ini dipilih oleh pakar panel bebas untuk menilai segala potensi untuk merawat dan ujian ini turut merangkumi ribuan kajian di lebih 600 hospital di 52 negara," katanya.
Ubat-ubatan ini juga dipilih oleh pakar panel badan bebas untuk mengurangkan kadar kematian selepas dijangkiti COVID-19.
Kajian yang dilakukan WHO sebelum ini turut merangkumi ujian terhadap empat jenis ubat-ubatan.
Antaranya termasuk Remdesivir dan Hydroxychloroquine yang dilaporkan tidak berkesan terhadap virus tersebut.
#COVID-19 #WHO #Kajian #ubat #Tedros Adhanom Ghebreyesus #solidarity plus #artesunate #imatini #infliximab #Remdesivir #Hydroxychloroquine