CPP menang pilihan raya Kemboja, majoriti kecil

Astro Awani
Julai 29, 2013 03:31 MYT
Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Perdana Menteri Hun Sen memenangi pilihan raya umum Kemboja walaupun majoriti yang diperolehi CPP semakin berkurangan.
Ia adalah prestasi terburuk yang pernah dicatatkan oleh CPP dalam tempoh 15 tahun.
Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Penerangan, Khieu Kanharith berkata, kiraan terakhir menunjukkan CPP memenangi 68 kerusi parlimen berbanding 55 oleh pembangkang.
Pada 2008, CPP memenangi 90 daripada 123 kerusi parlimen yang dipertandingkan.
Dengan mendapat sokongan media arus perdana dan sumber-sumber yang kuat, CPP menaruh keyakinan menang pilihan raya kali ini.
Namun para penganalisis meramalkan parti itu akan menang dengan majoriti kecil selepas penggabungan dua parti pembangkang dan kembalinya pemimpin pembangkang popular daripada buangan, Sam Rainsy.
#Kemboja #pilihan raya umum