[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Cuaca buruk di Filipina jejas lebih 906,000 keluarga, ragut 27 nyawa

Bernama 29/09/2025 | 08:05 MYT
Seramai 30,265 keluarga ditempatkan di 1,607 pusat pemindahan manakala 84,240 keluarga lagi menerima bantuan di luar pusat pemindahan. - Gambar fail/ AP
MANILA: Jumlah keluarga yang terjejas akibat monsun barat daya serta siklon tropika Mirasol, Nando (nama antarabangsa Ragasa) dan Opong telah mencecah 906,794, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Seramai 906,794 keluarga atau 3.4 juta orang di Filipina terjejas akibat monsun barat daya dan siklon tropika Mirasol, Nando (Ragasa) dan Opong, dengan lebih 30,000 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan.
  • Setakat ini, 27 kematian dilaporkan (empat disahkan), 33 cedera dan 16 hilang, manakala lebih 16,000 rumah rosak termasuk 2,600 yang rosak sepenuhnya.
  • Kerosakan kepada sektor pertanian dan infrastruktur dianggarkan berjumlah PHP1.01 bilion dan PHP979.6 juta, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC).


Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), jumlah itu bersamaan dengan 3,402,391 orang yang menetap di 8,087 daerah kecil di 16 wilayah seluruh negara, berdasarkan kemas kini situasi pada 6 pagi oleh agensi tindak balas bencana berkenaan.

Setakat laporan dibuat, seramai 30,265 keluarga ditempatkan di 1,607 pusat pemindahan manakala 84,240 keluarga lagi menerima bantuan di luar pusat pemindahan.

Jumlah kematian yang dilaporkan pula adalah seramai 27 orang, dengan hanya empat disahkan -- semuanya dari Wilayah Pentadbiran Cordillera.

Baki 23 kematian yang masih dalam proses pengesahan melibatkan sembilan dari Bicol; lapan dari Lembah Cagayan; dua masing-masing dari Luzon Tengah dan Visayas Tengah serta masing-masing satu dari Visayas Timur dan Mimaropa.

Seramai 33 orang dilaporkan cedera -- 14 daripadanya disahkan, manakala 16 orang lagi dilaporkan hilang.

Kira-kira 16,911 rumah rosak, dengan 14,311 diklasifikasikan sebagai "rosak sebahagian" dan 2,600 lagi "rosak sepenuhnya".

Sementara itu, kerosakan kepada sektor pertanian dan infrastruktur masing-masing dianggarkan berjumlah PHP1.01 bilion dan PHP979.6 juta.

-- BERNAMA




#Filipina #Ragasa #bencana alam #angka kematian