DUNIA

Cuaca buruk jejas 224,500 keluarga di Filipina, tiga kematian disahkan - NDRRMC

Bernama 25/09/2025 | 14:38 MYT
Jumlah rumah yang rosak akibat cuaca buruk, sama ada rosak sepenuhnya atau sebahagian, adalah sebanyak 2,877 buah di lapan wilayah. - Reuters
MANILA: Jumlah keluarga yang terjejas akibat siri gangguan cuaca buruk di Filipina meningkat kepada 224,549 setakat Khamis, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam laporan situasi terbaharu, NDRRMC menyatakan bahawa 224,549 keluarga, bersamaan dengan 915,827 individu, berasal dari Wilayah Ilocos, Lembah Cagayan, Wilayah Pentadbiran Cordillera (CAR), Luzon Tengah, Wilayah Ibu Negara (NCR), Calabarzon, Mimaropa, Wilayah Bicol, Visayas Barat, Semenanjung Zamboanga dan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM).

Sehingga petang Khamis, seramai 7,438 keluarga berlindung sementara di 373 pusat pemindahan, manakala 8,019 lagi menumpang di tempat lain.

Dalam laporan yang sama, NDRRMC memaklumkan, seramai 13 orang dilaporkan maut, namun hanya tiga kematian kesemuanya di CAR disahkan berkaitan cuaca.

Daripada kematian yang masih dalam proses pengesahan, lapan dilaporkan di Lembah Cagayan dan dua di Luzon Tengah.

NDRRMC juga melaporkan seramai 17 orang cedera, dengan 10 daripadanya disahkan, sementara satu daripada dua orang yang dilaporkan hilang turut disahkan.

Jumlah rumah yang rosak akibat cuaca buruk, sama ada rosak sepenuhnya atau sebahagian, adalah sebanyak 2,877 buah di lapan wilayah.

Cuaca buruk yang melanda banyak bahagian Filipina baru-baru ini disebabkan oleh monsun barat daya ("habagat") yang diburukkan oleh Taufan Super Nando (nama antarabangsa Ragasa) dan Tekanan Tropika Mirasol.

--BERNAMA-PNA


#Filipina #taufan ragasa #angka kematian #cuaca buruk #penduduk terjejas