[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
DUNIA

Cucu Nelson Mandela selamat, bakal pulang selepas ditahan tentera Israel

Agensi 08/10/2025 | 01:40 MYT
Mandla Mandela berkongsi video memaklumkan beliau berada dalam keadaan selamat selepas ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
AKTIVIS kemanusiaan dan cucu kepada pejuang anti-apartheid Nelson Mandela, Mandla Mandela, disahkan selamat selepas ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) - sebuah inisiatif antarabangsa yang berusaha menghantar bantuan ke Gaza dan memecahkan sekatan rejim Zionis.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi isterinya, Nosekeni Rabia Mandela, Mandla kelihatan berada dalam keadaan baik serta bersemangat bersama aktivis lain di atas kapal Jordanian Galaxy.

“Ini Nkosi Zwelivelile dari kapal Jordanian Galaxy. Boleh dengar saya? Kami melaporkan bahawa semua rakan seperjuangan di GSF selamat dan kini dalam perjalanan pulang ke negara masing-masing,” katanya sambil menambah bahawa kesemua aktivis akan mengadakan sidang media sebaik tiba di tanah air.


Mandla turut menenangkan isterinya dan anak-anak mereka melalui pesanan yang penuh kasih: “Buat sesiapa yang menerima mesej ini, tolong beritahu isteri saya bahawa saya akan pulang. Katakan kepada anak-anak saya iaitu Mandela, Rolihlahla, dan Nonhlanhla, bahawa ayah akan pulang. Saya tak sabar untuk bertemu kamu semua, Insya-Allah.”

Isterinya, Nosekeni Rabia turrut menzahirkan rasa syukur tidak terhingga selepas Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan (Dirco) mengesahkan semua aktivis akan dibawa pulang.

“Saya amat bersyukur atas dedikasi tanpa henti pasukan guaman GSF, organisasi Adalah, pasukan sokongan tempatan GSF, serta Dirco. Usaha gigih mereka telah memastikan pembebasan delegasi Afrika Selatan,” katanya.

Menurut laporan media tempatan, pembebasan mereka berjaya direalisasikan hasil rundingan diplomatik antara kerajaan Afrika Selatan dan pihak berkuasa Israel.

“Mendengar bahawa suami saya akhirnya akan pulang membuatkan hati saya dipenuhi rasa syukur dan kegembiraan yang tidak terhingga,” katanya dengan penuh emosi.



#cucu Nelson Mandela #Mandla Mandela #Global Sumud Flotilla #aktivis ditahan Israel