DUNIA
Cukai karbon tidak jejas pelaburan, dilaksana secara berhati-hati - PM Anwar

Anwar Ibrahim (tengah) menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama pemain industri Perancis di sini, hari ini. - Bernama
PARIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelaksanaan cukai karbon yang sedang dirangka tidak akan menjejaskan aktiviti pelaburan di Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dan menyeluruh dalam merangka mekanisme pelaksanaan cukai tersebut, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pelabur asing.
“Cadangan cukai karbon tidak boleh dilihat sebagai penghalang buat para pelabur.
“Ia perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan berperingkat. Kami akan memuktamadkannya dalam tempoh beberapa bulan lagi,” katanya dalam sesi meja bulat bersama kapten industri Perancis di Paris pada Jumaat.Anwar menegaskan bahawa pengenalan cukai karbon adalah langkah yang tidak dapat dielakkan dalam usaha negara menangani perubahan iklim dan memperkukuh dasar peralihan tenaga.
Namun begitu, katanya, Putrajaya komited memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Sesi selama hampir satu jam itu diteraju oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ia disertai oleh wakil 42 syarikat Perancis serta 18 syarikat Malaysia dan menjadi platform penting untuk membincangkan kerjasama ekonomi serta pelaburan masa depan antara kedua-dua negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami