DUNIA

Curtis Sliwa akui kekalahan, beri amaran kepada Zohran Mamdani

Astro Awani 05/11/2025 | 04:20 MYT
Dalam ucapan penuh emosi kepada penyokongnya, Sliwa yang sebak berkata, perjuangannya belum berakhir. - Foto REUTERS
NEW YORK: Calon Republikan, Curtis Sliwa, mengakui kekalahan dalam pemilihan Datuk Bandar New York pada Selasa malam dan memberi amaran keras kepada Datuk Bandar baharu, Zohran Mamdani, agar tidak melemahkan pasukan keselamatan dan tidak menjadikan bandar itu medan percubaan sosialisme.


Ringkasan AI
  • Curtis Sliwa menerima kekalahan dalam pemilihan Datuk Bandar New York dan memberi amaran keras kepada Zohran agar tidak melemahkan pasukan keselamatan atau melaksanakan dasar sosialisme.
  • Zohran mendahului dengan 49% undi, menewaskan dua tokoh politik lama termasuk Sliwa yang hanya meraih sekitar 8%, menutup kempen panas selama beberapa bulan.
  • Walaupun tewas, Sliwa berikrar untuk meneruskan perjuangan melalui gerakan akar umbi, menentang dasar progresif Zohran yang dianggap membebankan pembayar cukai.


Dalam ucapan penuh emosi kepada penyokongnya, Sliwa yang sebak berkata, perjuangannya belum berakhir.

“Gerakan ini akan terus hidup. Kepada pemimpin baharu, saya beri amaran jika kamu cuba melaksanakan sosialisme, jika kamu cuba melemahkan pasukan polis dan mengabaikan keselamatan rakyat, kami bukan sahaja akan berorganisasi, kami akan bangkit semula,” katanya kepada media.

Setakat lebih 1.3 juta undi dikira, Zohran mendahului dengan kelebihan 49 peratus, jauh meninggalkan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo, dan Sliwa yang hanya meraih sekitar 8 peratus undi.

Kemenangan besar ini menutup kempen panas selama beberapa bulan, selepas Zohran iaitu seorang demokratik sosialis berusia 34 tahun, mencatat kejutan dalam pemilihan parti Demokrat pada Jun lalu sebelum menewaskan dua tokoh politik lama.

Zohran dijangka memimpin salah satu bandar terbesar Amerika di bawah tekanan hubungan tegang dengan Pentadbiran Presiden Donald Trump, yang sebelum ini mengancam untuk menghantar Pasukan Pengawal Kebangsaan (National Guard) ke New York bagi menangani kadar jenayah dan isu migran tanpa dokumen.

Sliwa, yang terkenal dengan gaya lantangnya dan aksi simbolik di sistem kereta api bawah tanah New York, sebelum ini mencetus perhatian apabila menyamakan Zohran dan Cuomo sebagai “zombi dan pontianak politik” dalam ucapan khas sempena Halloween.

“Dia (Mamdani) mahu beri semuanya percuma, bas percuma, rumah percuma, penjagaan anak percuma. Tapi semua itu akan ‘mengeringkan darah pembayar cukai seperti Dracula’,” kata Sliwa dalam sindiran terdahulunya.

Walaupun tewas, Sliwa menegaskan perjuangannya akan diteruskan melalui gerakan akar umbi, khususnya dalam menentang dasar-dasar progresif yang dibawa Mamdani.






#Curtis Sliwa #zohran mamdani #Datuk Bandar #pilihan raya