LUXEMBOURG: Kesatuan Eropah (EU) menyenaraikan sepupu Presiden Syria Bashar al-Assad sebagai individu yang dikenakan sekatan kerana didakwa terlibat dalam jenayah mengedar dadah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menteri luar EU memutuskan pada Isnin bahawa sepupu Bashar al-Assad - Wasim Badia dan Samer Kamal al-Assad - dikenakan sekatan.

Mereka didakwa terlibat dalam pengeluaran dan perdagangan 'Captagon'.

Turut dikenakan sekatan Mudar Rifaat al-Assad namun, alasan mengenai sekatan itu tidak dinyatakan.

Seramai 22 rakyat Syria dan lapan syarikat turut terjejas akibat sekatan itu.

"Perdagangan amphetamine telah menjadi model perniagaan yang dijalankan oleh rejim," menurut satu kenyataan daripada Majlis Menteri EU.

Hasil daripada perdagangan itu digunakan oleh rejim untuk mengekalkan dasar penindasan terhadap penduduk awam.

Penyiasat antarabangsa kini menganggap Syria sebagai antara pengeluar tablet amfetamin terbesar di dunia.

Selain itu, sebuah syarikat pembinaan Rusia Stroytransgaz yang menguasai lombong fosfat terbesar di Syria turut berada dalam senarai sekatan.

-- BERNAMA